26th February, 2015
PERKONGSIAN PUISI BERTAJUK “PENGECUT”
Kita dikejutkan dingin subuh
yang berlari melihat sinar fajar
memancar mambalut kabus pagi.
Kita dihuni “pengecut”
beranak-pinak
menggertak kotak hati
membakar mata fikiran
ngeri mengenggam bara kegagalan.
Kita penakut!
Kita pengecut!
“Di sini pedang kegagalan
di sana sarang kehancuran!”
Monolog itu berkocak
membaham ganas keinginan.
Mengapakah tidak dicuba?
Mengusung selaut ikhtiar
berjuang membunuh “pengecut”
menghancurkan jasad kegagalan.
Pengecut hanya rupa bayang-bayang
kegagalan sebagai nadi pertama perjuangan.
Ubahlah kata kita
jadi seperti mata air
mengalir terus-terusan
menyimbah tasik lautan
agar tidak kering disedut kemarau panjang.
[Oleh Jelison Jupin]
[Dipetik daripada majalah Dewan Siswa jilid 37 bil 1 BHG Puisi Siswa]
Posted at 10:43 pm | Comment (0)
Add a Comment
You must bee logged in to post a comment.